Tuesday 29 March 2016

Matius 28: 1 - 20

1: Setelah hari Sabat berlalu dan fajar mula menyingsing pada hari Ahad, Maria Magdalena dan Maria yang lain pergi melihat kubur Yesus. 

2: Tiba-tiba berlaku gempa bumi yang kuat. Malaikat Tuhan turun dari syurga, menggulingkan batu penutup kubur itu lalu duduk di atasnya. 

3: Rupa malaikat itu terang seperti kilat dan pakaiannya putih seperti salji. 

4: Askar-askar pengawal di situ begitu ketakutan sehingga mereka gementar lalu rebah seperti orang mati.  

5: Malaikat itu berkata kepada wanita-wanita itu, “Janganlah takut! Aku tahu bahawa kamu mencari Yesus yang telah disalibkan itu. 

6: Dia tidak ada di sini. Dia sudah bangkit seperti yang dikatakan-Nya dahulu. Marilah lihat tempat jenazah Yesus diletakkan. 

7: Sekarang, cepatlah pergi dan beritahu pengikut-pengikut-Nya, ‘Dia sudah dibangkitkan daripada kematian, dan sekarang Dia pergi ke Galilea terlebih dahulu daripada kamu. Di sana kamu akan melihat Dia.’ Ingatlah akan apa yang aku katakan kepada kamu.”  

8: Dengan cepat mereka meninggalkan kubur itu; mereka takut tetapi juga bersukacita. Lalu mereka lari memberitahu pengikut-pengikut Yesus.  

9: Tiba-tiba Yesus datang menemui wanita-wanita itu dan berkata, “Sejahteralah kamu.” Mereka menghampiri Dia, memegang kaki-Nya, dan menyembah Dia. 

10: “Janganlah takut,” kata Yesus kepada mereka, “pergilah beritahu saudara-saudara-Ku supaya pergi ke Galilea; di sana mereka akan melihat Aku.”  

11: Sementara wanita-wanita itu meneruskan perjalanan, beberapa orang askar yang mengawal kubur itu kembali ke kota dan memberitahu ketua-ketua imam segala yang sudah berlaku. 

12: Ketua-ketua imam berunding dengan para pemimpin masyarakat Yahudi, dan mengambil keputusan untuk memberikan wang yang banyak kepada askar-askar pengawal itu. 

13: Mereka berkata kepada askar-askar itu, “Kamu harus mengatakan bahawa pengikut-pengikut Yesus datang pada malam hari dan mencuri jenazah Yesus ketika kamu tidur. 

14: Jika gabenor mendengar hal ini, kami akan meyakinkan dia bahawa kamu tidak bersalah. Kamu tidak usah khuatir.”  

15: Askar-askar pengawal mengambil wang itu dan berbuat seperti yang disuruh mereka. Sehingga hari ini, cerita itu masih tersebar di kalangan orang Yahudi.   

16: Sebelas orang pengikut Yesus pergi ke bukit di Galilea seperti yang diperintahkan oleh Yesus kepada mereka. 

17: Apabila mereka melihat Yesus, mereka menyembah Dia meskipun ada di kalangan mereka yang ragu-ragu. 

18: Yesus menghampiri mereka lalu berkata, “Aku telah diberikan segala kuasa di syurga dan di bumi. 

19: Pergilah kepada semua bangsa di seluruh dunia dan jadikanlah mereka pengikut-Ku. Baptislah mereka dengan menyebut nama Bapa, Anak, dan Roh Allah. 

20: Ajarlah mereka mentaati segala yang sudah Aku perintahkan. Ingatlah, Aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga akhir zaman.” 

No comments:

Post a Comment