Tuesday 29 March 2016

Efesus 3: 1 - 21

1: Itulah sebabnya aku, Paulus, dipenjarakan kerana Kristus Yesus untuk kepentingan kamu orang bukan Yahudi. 

2: Tentu kamu sudah mendengar berita bahawa Allah, kerana rahmat-Nya telah memberi aku tugas ini untuk kepentingan kamu. 

3: Allah menyatakan rancangan-Nya yang dirahsiakan dan memberitahukannya kepadaku. (Hal itu sudah aku tulis dengan singkat. 

4: Jika kamu membacanya, kamu akan memahami pengertianku tentang rahsia Kristus.) 

5: Pada masa yang lampau manusia tidak diberitahukan rahsia itu, tetapi sekarang Roh Allah telah menyatakannya kepada para rasul dan nabi yang mengabdikan diri kepada Allah. 

6: Inilah rahsia itu: Melalui Berita Baik itu orang bukan Yahudi turut menerima berkat Allah bersama-sama orang Yahudi. Orang bukan Yahudi menjadi anggota daripada tubuh yang sama, dan menerima apa yang dijanjikan oleh Allah melalui Kristus Yesus. 

7: Allah merahmati aku dan melalui kuasa-Nya yang bekerja dalam diriku, aku ditugaskan untuk mengisytiharkan Berita Baik itu. 

8: Akulah yang paling hina antara umat Allah, namun Allah mengurniai aku tugas istimewa untuk mengisytiharkan Berita Baik kepada orang bukan Yahudi. Berita Baik itu tentang berkat-berkat yang tidak terhingga daripada Kristus. 

9: Aku juga harus menjadikan semua orang tahu bagaimana Allah melaksanakan rancangan-Nya yang dirahsiakan itu. Allah, Pencipta semesta alam ini merahsiakan rancangan-Nya sejak dahulu, 

10: supaya sekarang melalui jemaah, semua yang memerintah dan yang berkuasa di angkasa dapat mengetahui pelbagai ragam kebijaksanaan Allah. 

11: Melalui Kristus Yesus Tuhan kita, Allah melakukan hal itu seperti yang dirancang-Nya sejak permulaan. 

12: Kerana kita percaya kepada Kristus dan hidup bersatu dengan Dia, kita berani datang ke hadirat Allah dengan penuh keyakinan. 

13: Oleh itu, janganlah tawar hati oleh sebab aku mengalami penderitaan kerana kamu. Semuanya untuk kebaikan kamu.  

14: Itulah sebabnya aku bertelut di hadapan Bapa. 

15: Dialah yang menyebabkan setiap kaum di dunia dan di syurga menerima sifatnya yang khas. 

16: Aku berdoa kepada Allah supaya daripada berkat-Nya yang berlimpah-limpah di syurga, Dia menguatkan batin kamu dengan Roh-Nya. 

17: Semoga Kristus tinggal di dalam hati kamu, kerana kamu percaya kepada-Nya. Aku berdoa supaya semua perbuatan kamu berakarkan dan berdasarkan kasih. 

18: Dengan demikian kamu bersama-sama umat Allah, dapat sungguh-sungguh memahami betapa luas dan panjangnya serta betapa tinggi dan dalamnya kasih Kristus, 

19: yang dengan akal manusia tidak dapat difahami sedalam-dalamnya. Semoga kamu mengenal kasih Kristus, sehingga kamu memperolehi sifat Allah.  

20: Dengan kuasa Allah yang bekerja dalam diri kita, Allah dapat melakukan perkara yang jauh lebih banyak daripada yang kita minta atau fikirkan. 

21: Hendaklah Allah dimuliakan selama-lamanya di kalangan jemaah, melalui Kristus Yesus! Terpujilah Allah! Amin. 

No comments:

Post a Comment