Tuesday 29 March 2016

Efesus 4: 1 - 32

1: Itulah sebabnya aku - orang yang dipenjarakan kerana mengabdikan diri kepada Tuhan - menggesa kamu supaya hidup sesuai dengan cara hidup yang ditetapkan oleh Allah ketika Dia memanggil kamu. 

2: Hendaklah kamu sentiasa rendah hati, lemah lembut, dan sabar. Tunjukkanlah kasihmu dengan saling membantu. 

3: Berusahalah sebaik-baiknya untuk hidup damai, supaya kesatuan yang diberikan oleh Roh Allah tetap terpelihara. 

4: Hanya ada satu tubuh dan satu Roh, begitu juga kamu dipanggil oleh Allah untuk satu harapan. 

5: Hanya ada satu Tuhan, satu iman, satu baptisan, 

6: dan satu Allah, Bapa semua orang. Dialah Tuhan semua orang, yang bekerja melalui semua orang, dan tinggal di dalam semua orang.  

7: Setiap orang daripada kita menerima suatu kurnia menurut apa yang diberikan oleh Kristus. 

8: Di dalam Alkitab tertulis, 
“Ketika Dia naik ke tempat yang tertinggi, Dia membawa banyak tawanan; Dia memberikan kurnia kepada manusia.”  

9: Inilah yang dimaksudkan dengan “Dia naik”: Mula-mula Dia turun ke tempat yang serendah-rendahnya di bumi ini.  

10: Dia yang turun itu juga naik ke tempat yang jauh lebih tinggi daripada segala langit, sehingga alam semesta dipenuhi dengan kehadiran-Nya. 

11: Dialah yang “memberikan kurnia kepada manusia”. Beberapa orang dilantik-Nya menjadi rasul, yang lain menjadi nabi, yang lain lagi menjadi pembawa Berita Baik, dan yang lain pula menjadi guru dan pemelihara jemaah. 

12: Hal itu dilakukan-Nya supaya umat Allah dapat melakukan pelayanan yang sepatutnya dilakukan oleh pengikut Kristus, sehingga tubuh Kristus dikuatkan. 

13: Dengan demikian kita menjadi satu oleh iman yang sama dan pengertian yang sama tentang Anak Allah. Kita akan menjadi matang dan sempurna seperti Kristus. 

14: Barulah kita tidak menjadi anak-anak lagi, yang diumbang-ambingkan dan ditiup ke sana sini oleh angin ajaran orang licik. Mereka menyesatkan orang dengan tipu muslihat. 

15: Sebaliknya, kita harus mengatakan perkara-perkara benar dengan hati yang penuh kasih, sehingga kita menjadi matang dalam segala hal dan menjadi seperti Kristus, iaitu kepala jemaah. 

16: Di bawah pimpinan-Nya, semua anggota tubuh yang berlainan itu tersusun rapi, dan seluruh tubuh itu dihubungkan oleh sendi-sendi yang sudah tersedia. Oleh itu, apabila setiap anggota bekerja dengan sepatutnya, seluruh tubuh itu akan membesar dan menjadi kuat, kerana kasih.  

17: Oleh itu, demi nama Tuhan aku memberikan amaran ini: Janganlah kamu hidup seperti orang yang tidak mengenal Allah, yang berfikiran sia-sia. 

18: Mereka tidak dapat memahami apa-apa. Mereka tidak mengenal kehidupan yang diberikan oleh Allah, kerana mereka jahil dan degil. 

19: Mereka tidak mempunyai perasaan malu lagi. Mereka menuruti segala hawa nafsu dan terus-menerus melakukan segala perkara yang tidak senonoh.  

20: Bukan itu yang kamu pelajari tentang Kristus! 

21: Kamu tentu sudah diberitahukan tentang Dia. Sebagai pengikut-Nya kamu telah menerima ajaran benar tentang Yesus. 

22: Oleh itu, buanglah cara hidup yang lama, yang menyebabkan kamu berkelakuan seperti dahulu. Cara hidup itu membinasakan kamu, kerana kamu dikuasai keinginan yang menyesatkan. 

23: Hati dan fikiran kamu haruslah dibaharui seluruhnya. 

24: Hendaklah kamu hidup seperti manusia baru, yang diciptakan menurut rupa Allah. Dengan demikian orang dapat melihat bahawa kamu mengamalkan hidup yang menyenangkan hati Allah dan yang suci.   

25: Oleh itu, kamu tidak boleh berdusta lagi! Kamu harus mengatakan yang benar kepada saudara-saudara seiman, kerana kita semua anggota tubuh Kristus. 

26: Jika kamu marah, janganlah biarkan kemarahan itu menyebabkan kamu berdosa. Janganlah marah sepanjang hari. 

27: Janganlah berikan peluang kepada Iblis. 

28: Orang yang biasa mencuri mesti berhenti mencuri. Mereka harus mula bekerja untuk mencari nafkah dengan jujur sehingga dapat menolong orang miskin. 

29: Janganlah gunakan kata-kata kotor dalam percakapan kamu. Gunakanlah kata-kata yang membina dan memberikan pertolongan, supaya apa yang kamu katakan mendatangkan kebaikan kepada mereka yang mendengarnya. 

30: Janganlah sedihkan Roh Allah. Jika kamu memiliki Roh Allah, hal itu menunjukkan bahawa kamu milik Allah. Roh itu jaminan bahawa Hari Pembebasan akan tiba bagi kamu. 

31: Janganlah berdengki, geram, dan marah. Jangan lagi bertengkar dan memfitnah orang. Jangan lagi benci sesiapa pun. 

32: Sebaliknya, hendaklah kamu baik hati, saling berbelas kasihan, dan saling mengampuni sebagaimana Allah telah mengampuni kamu melalui Kristus.

No comments:

Post a Comment