Tuesday, 29 March 2016

Efesus 3: 1 - 21

1: Itulah sebabnya aku, Paulus, dipenjarakan kerana Kristus Yesus untuk kepentingan kamu orang bukan Yahudi. 

2: Tentu kamu sudah mendengar berita bahawa Allah, kerana rahmat-Nya telah memberi aku tugas ini untuk kepentingan kamu. 

3: Allah menyatakan rancangan-Nya yang dirahsiakan dan memberitahukannya kepadaku. (Hal itu sudah aku tulis dengan singkat. 

4: Jika kamu membacanya, kamu akan memahami pengertianku tentang rahsia Kristus.) 

5: Pada masa yang lampau manusia tidak diberitahukan rahsia itu, tetapi sekarang Roh Allah telah menyatakannya kepada para rasul dan nabi yang mengabdikan diri kepada Allah. 

6: Inilah rahsia itu: Melalui Berita Baik itu orang bukan Yahudi turut menerima berkat Allah bersama-sama orang Yahudi. Orang bukan Yahudi menjadi anggota daripada tubuh yang sama, dan menerima apa yang dijanjikan oleh Allah melalui Kristus Yesus. 

7: Allah merahmati aku dan melalui kuasa-Nya yang bekerja dalam diriku, aku ditugaskan untuk mengisytiharkan Berita Baik itu. 

8: Akulah yang paling hina antara umat Allah, namun Allah mengurniai aku tugas istimewa untuk mengisytiharkan Berita Baik kepada orang bukan Yahudi. Berita Baik itu tentang berkat-berkat yang tidak terhingga daripada Kristus. 

9: Aku juga harus menjadikan semua orang tahu bagaimana Allah melaksanakan rancangan-Nya yang dirahsiakan itu. Allah, Pencipta semesta alam ini merahsiakan rancangan-Nya sejak dahulu, 

10: supaya sekarang melalui jemaah, semua yang memerintah dan yang berkuasa di angkasa dapat mengetahui pelbagai ragam kebijaksanaan Allah. 

11: Melalui Kristus Yesus Tuhan kita, Allah melakukan hal itu seperti yang dirancang-Nya sejak permulaan. 

12: Kerana kita percaya kepada Kristus dan hidup bersatu dengan Dia, kita berani datang ke hadirat Allah dengan penuh keyakinan. 

13: Oleh itu, janganlah tawar hati oleh sebab aku mengalami penderitaan kerana kamu. Semuanya untuk kebaikan kamu.  

14: Itulah sebabnya aku bertelut di hadapan Bapa. 

15: Dialah yang menyebabkan setiap kaum di dunia dan di syurga menerima sifatnya yang khas. 

16: Aku berdoa kepada Allah supaya daripada berkat-Nya yang berlimpah-limpah di syurga, Dia menguatkan batin kamu dengan Roh-Nya. 

17: Semoga Kristus tinggal di dalam hati kamu, kerana kamu percaya kepada-Nya. Aku berdoa supaya semua perbuatan kamu berakarkan dan berdasarkan kasih. 

18: Dengan demikian kamu bersama-sama umat Allah, dapat sungguh-sungguh memahami betapa luas dan panjangnya serta betapa tinggi dan dalamnya kasih Kristus, 

19: yang dengan akal manusia tidak dapat difahami sedalam-dalamnya. Semoga kamu mengenal kasih Kristus, sehingga kamu memperolehi sifat Allah.  

20: Dengan kuasa Allah yang bekerja dalam diri kita, Allah dapat melakukan perkara yang jauh lebih banyak daripada yang kita minta atau fikirkan. 

21: Hendaklah Allah dimuliakan selama-lamanya di kalangan jemaah, melalui Kristus Yesus! Terpujilah Allah! Amin. 

Markus 2: 1 - 28

1: Beberapa hari kemudian Yesus kembali ke Kapernaum dan tersebarlah khabar bahawa Yesus di rumah. 

2: Banyak sekali orang datang berkumpul di situ, sehingga tidak ada tempat. Bahkan di pintu pun penuh sesak dengan orang. Lalu Yesus memberitakan perkhabaran daripada Allah kepada mereka. 

3: Sementara Yesus berkata-kata, datanglah empat orang yang mengusung seorang lumpuh. 

4: Tetapi kerana terlalu banyak orang, mereka tidak dapat membawa dia kepada Yesus. Oleh itu mereka membuka bumbung rumah yang terletak tepat di atas tempat Yesus. Kemudian mereka menurunkan orang lumpuh yang terbaring di atas tikar. 

5: Yesus melihat bahawa mereka sangat beriman. Oleh itu Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Anak-Ku, dosamu sudah diampunkan.”  

6: Beberapa orang guru Taurat yang duduk di situ berkata dalam hati, 

7: “Alangkah beraninya dia mengkufuri Allah! Tidak seorang pun boleh mengampunkan dosa kecuali Allah!”  

8: Pada ketika itu juga Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka, lalu Dia berkata kepada mereka, “Mengapa kamu berfikir demikian? 

9: Manakah yang lebih mudah: mengatakan, ‘Dosamu sudah diampunkan’ atau ‘Bangunlah, angkat tikarmu, dan berjalan’? 

10: Tetapi kepada kamu Aku akan membuktikan bahawa di atas bumi ini Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa.” 

11: Lalu Yesus berkata kepada orang lumpuh itu, “Bangunlah, angkat tikarmu, dan pulanglah!”  

12: Di hadapan mereka semua, orang lumpuh itu bangkit, mengangkat tikarnya, dan segera keluar. Semua orang di situ tercengang-cengang lalu memuji Allah. Mereka berkata, “Belum pernah kami lihat perkara seperti ini!”  

13: Yesus balik semula ke pantai Tasik Galilea. Lalu orang ramai datang kepada-Nya dan Dia mula mengajar mereka. 

14: Sementara Yesus berjalan di situ, Dia melihat seorang pemungut cukai bernama Lewi anak Alfeus sedang duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, “Ikutlah Aku.” Lewi berdiri lalu mengikut Yesus.  

15: Kemudian Yesus makan di rumah Lewi. Sebilangan besar pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat mengikut Yesus. Banyak antara mereka yang turut makan bersama-sama Yesus dan pengikut-Nya. 

16: Beberapa orang guru Taurat daripada golongan Farisi nampak Yesus makan bersama dengan pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat. Oleh itu mereka bertanya kepada pengikut-pengikut Yesus, “Mengapa dia makan bersama-sama pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat?”  

17: Yesus mendengar pertanyaan mereka, lalu menjawab, “Orang sihat tidak memerlukan doktor; hanya orang sakit memerlukannya. Aku tidak datang untuk memanggil orang yang menganggap diri mereka baik, tetapi untuk orang yang dihina masyarakat.”  

18: Pada suatu ketika, para pengikut Yohanes Pembaptis dan orang Farisi sedang berpuasa. Beberapa orang datang kepada Yesus dan bertanya, “Mengapa pengikut Yohanes Pembaptis dan pengikut orang Farisi berpuasa, tetapi pengikut guru tidak?”  

19: Yesus menjawab, “Adakah tetamu di jamuan perkahwinan berpuasa? Tentu tidak! Selama pengantin lelaki masih bersama-sama mereka, mereka tidak berpuasa. 

20: Tetapi akan tiba masanya apabila pengantin lelaki itu diambil daripada mereka. Pada masa itulah mereka berpuasa.  

21: Tidak ada orang menggunakan kain yang baru untuk menampal pakaian lama, kerana kain penampal yang baru itu akan mengecut lalu menyebabkan pakaian lama itu semakin koyak. 

22: Demikian juga tidak ada orang yang menuang wain baru ke dalam kirbat kulit lama. Jika dia berbuat demikian, wain itu akan memecahkan kirbat kulit itu dan kedua-duanya terbuang. Wain baru harus dituang ke dalam kirbat yang baru juga!”   

23: Pada suatu hari Sabat ketika Yesus sedang melewati ladang gandum, para pengikut-Nya yang berjalan bersama dengan Dia mula memetik bulir gandum. 

24: Lalu beberapa orang Farisi berkata kepada Yesus, “Lihatlah, para pengikutmu telah melanggar Taurat kita dengan melakukan perbuatan itu pada hari Sabat!”  

25: Yesus menjawab, “Belum pernahkah kamu baca apa yang dilakukan oleh Daud ketika dia dan anak buahnya lapar? 

26: Dia masuk ke Khemah Allah lalu makan roti yang sudah dipersembahkan kepada Allah. Hal itu berlaku tatkala Abiatar bertugas sebagai Imam Agung. Menurut Taurat kita, hanya imam yang boleh makan roti itu. Tetapi Daud memakannya, malahan dia juga memberikan roti itu kepada anak buahnya.”  

27: Yesus berkata lagi, “Hari Sabat ditetapkan untuk kepentingan manusia; manusia tidak dijadikan untuk hari Sabat. 

28: Oleh itu Anak Manusia juga berkuasa atas hari Sabat.”

Markus 1: 1 - 45

1: Inilah Berita Baik tentang Yesus Kristus, Anak Allah.  

2: Berita Baik ini bermula seperti yang ditulis oleh Nabi Yesaya, 
“Allah berfirman, ‘Inilah utusan-Ku. Aku akan mengutus dia terlebih dahulu daripada-Mu, supaya dia menyediakan jalan bagi-Mu.’   

3: Seorang berseru di padang gurun, ‘Sediakanlah jalan bagi Tuhan; luruskanlah jalan bagi-Nya!’ ”  

4: Demikianlah Yohanes muncul di padang gurun. Dia membaptis orang dan mengisytiharkan berita daripada Allah.
 “Bertaubatlah daripada dosa kamu dan hendaklah kamu dibaptis, supaya Allah mengampunkan dosa kamu,” kata Yohanes kepada orang ramai. 

5: Banyak sekali orang yang datang dari negeri Yudea dan kota Yerusalem untuk mendengarkan Yohanes. Mereka mengakui dosa dan Yohanes membaptis mereka di Sungai Yordan.   

6: Yohanes mengenakan pakaian yang dibuat daripada bulu unta dan tali pinggangnya dibuat daripada kulit. Dia makan belalang dan madu hutan. 

7: Dia mengisytiharkan berita ini, “Dia yang lebih besar daripada aku akan datang kelak. Aku tidak layak membongkok untuk mengurai tali kasut-Nya. 

8: Aku membaptis kamu dengan air, tetapi Dia akan membaptis kamu dengan Roh Allah.”  

9: Kemudian Yesus datang dari Nasaret di negeri Galilea, lalu Yohanes membaptis Dia di Sungai Yordan. 

10: Sebaik sahaja Yesus keluar dari sungai itu, Dia nampak langit terbuka dan Roh Allah seperti burung merpati turun ke atas-Nya. 

11: Lalu terdengarlah suara Allah, “Engkaulah Anak-Ku yang Aku kasihi. Engkau menyenangkan hati-Ku.”  

12: Roh Allah segera memimpin Yesus ke padang gurun. 

13: Selama empat puluh hari Yesus di situ, dan dicubai oleh Iblis. Binatang liar juga ada di situ, dan malaikat datang menolong Dia.  

14: Setelah Yohanes dipenjarakan, Yesus pergi ke Galilea dan mengisytiharkan Berita Baik daripada Allah. 

15: Dia berkata, 
“Masanya sudah tiba; tidak lama lagi Allah akan memerintah. Bertaubatlah daripada dosa kamu dan percayalah kepada Berita Baik ini!”  

16: Sementara Yesus berjalan di tepi Tasik Galilea, Dia nampak dua orang nelayan, Simon dan saudaranya, Andreas. Mereka sedang menjala ikan di tasik. 

17: Yesus berkata kepada mereka, “Ikutlah Aku dan Aku akan mengajar kamu menjala orang supaya menjadi pengikut-Ku.” 

18: Mereka segera meninggalkan jala lalu mengikut Yesus.  

19: Yesus meneruskan perjalanan-Nya, lalu melihat dua orang adik-beradik yang lain: Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus. Mereka sedang mengemaskan jala di dalam perahu. 

20: Sebaik sahaja Yesus nampak mereka, Dia memanggil mereka. Kedua-dua orang bersaudara itu meninggalkan bapa mereka dengan orang gajinya di dalam perahu, lalu mengikut Yesus.  

21: Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tiba di kota Kapernaum. Pada hari Sabat berikutnya, Yesus pergi ke rumah ibadat dan mula mengajar. 

22: Semua orang yang mendengarkan Dia kagum dengan cara Dia mengajar, kerana Dia mengajar dengan kewibawaan, tidak seperti guru Taurat.  

23: Pada waktu itu seorang yang dirasuk roh jahat masuk ke dalam rumah ibadat dan berseru, 

24: “Engkau mahu buat apa dengan kami, hai Yesus, orang Nasaret? Adakah Engkau mahu membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau: Engkau utusan yang suci daripada Allah!”  

25: Yesus menengking roh itu, “Diam! Keluarlah daripada orang ini!”  

26: Roh jahat itu menggoncangkan badan orang itu kuat-kuat, lalu keluar dari orang itu sambil berteriak. 

27: Semua orang sangat hairan sehingga mereka bercakap sesama sendiri, “Apakah ini suatu ajaran baru? Orang ini berkuasa memerintah roh jahat dan roh jahat taat kepada-Nya!”  

28: Demikianlah berita tentang Yesus tersebar dengan cepat ke seluruh negeri Galilea.  

29: Yesus dan pengikut-Nya, termasuk Yakobus dan Yohanes, meninggalkan rumah ibadat itu lalu terus pergi ke rumah Simon dan Andreas. 

30: Ibu mentua Simon sedang terbaring di tempat tidur kerana demam. Apabila Yesus tiba di situ, Dia diberitahukan hal itu. 

31: Yesus menghampiri ibu mentua Simon, memegang tangannya lalu menolong dia bangun. Demamnya hilang dan dia pun mula melayani mereka.  

32: Pada petang hari, setelah matahari terbenam, orang membawa semua orang sakit dan orang yang dirasuk roh jahat kepada Yesus. 

33: Semua penduduk kota itu berkumpul di hadapan rumah itu. 

34: Yesus menyembuhkan banyak orang yang menderita berbagai-bagai penyakit, dan Dia juga mengusir roh-roh jahat. Yesus tidak membenarkan roh-roh jahat berkata apa-apa, kerana roh-roh jahat tahu siapa Dia.  

35: Esok paginya, ketika masih subuh, Yesus bangun lalu meninggalkan rumah. Dia pergi ke luar kota, ke suatu tempat yang sunyi untuk berdoa. 

36: Simon dan sahabat-sahabatnya pergi mencari Yesus. 

37: Apabila mereka menemui Yesus, mereka berkata, “Semua orang sedang mencari Guru.”  

38: Tetapi Yesus menjawab, “Kita mesti meneruskan perjalanan ke pekan-pekan lain di sekitar kawasan ini. Aku mesti menyampaikan perkhabaran itu di sana juga, kerana untuk tujuan itulah Aku datang.”   

39: Demikianlah Yesus menjelajah seluruh Galilea dan berkhutbah di rumah ibadat serta mengusir roh-roh jahat.  

40: Seorang berpenyakit kulit yang mengerikan datang kepada Yesus. Orang itu berlutut dan memohon pertolongan-Nya. “Tuan, jika tuan sudi,” katanya, “tuan dapat menyembuhkan saya.”  

41: Yesus mengasihaninya. Dia pun menghulurkan tangan-Nya, lalu menjamah orang itu sambil berkata, “Aku mahu, sembuhlah!” 

42: Seketika itu juga penyakitnya tiada lagi dan orang itu sembuh. 

43: Lalu Yesus menyuruh dia pergi sambil memperingatkan dia, 

44: “Dengarlah baik-baik, jangan beritahu sesiapa pun perkara ini. Tetapi pergilah kepada imam dan mintalah dia mengesahkan kesembuhanmu. Kemudian persembahkanlah korban seperti yang diperintahkan oleh Musa, sebagai bukti kepada semua orang bahawa kamu betul-betul sudah sembuh.”  

45: Tetapi orang itu pergi dan mula menyebarkan berita itu di mana-mana. Dia terus-menerus menceritakan hal itu sehingga Yesus tidak dapat masuk ke bandar secara terang-terangan. Yesus tinggal di luar bandar di tempat-tempat yang sunyi, tetapi orang dari berbagai-bagai tempat datang kepada-Nya. 

Efesus 2: 1 - 22

1: Dahulu kamu mati secara rohani, kerana kamu tidak taat kepada perintah Allah dan kamu berdosa. 

2: Pada masa itu hidup kamu mengikut cara hidup yang jahat daripada orang di dunia ini. Kamu mentaati penguasa roh-roh jahat di angkasa, iaitu roh yang sekarang menguasai orang yang tidak taat kepada Allah. 

3: Sebenarnya dahulu kita semua seperti mereka. Kita hidup mengikut tabiat manusia dan melakukan segala sesuatu yang dikehendaki tubuh dan fikiran kita. Seperti orang lain, kita pun kena kemurkaan Allah. 

4: Tetapi Allah sangat berbelas kasihan dan Dia sangat mengasihi kita, 

5: sehingga sementara kita mati secara rohani kerana pelanggaran kita, Dia menghidupkan kita semula bersama-sama Kristus. Kamu sudah diselamatkan oleh rahmat Allah.

6: Kerana kita hidup bersatu dengan Kristus Yesus, Allah menghidupkan kita semula bersama-sama Dia supaya kita memerintah dengan Kristus di syurga. 

7: Allah melakukan hal itu supaya pada zaman yang akan datang, semua orang akan mengetahui rahmat-Nya yang tidak terhingga itu. Dia menunjukkan kasih-Nya kepada kita melalui Kristus Yesus. 

8: Hal itu demikian, kerana dengan rahmat Allah, kamu diselamatkan oleh sebab kamu percaya kepada Yesus. 

9: Penyelamatan itu bukan hasil usaha kamu sendiri, melainkan kurnia Allah. Oleh itu kamu tidak mempunyai alasan untuk bercakap besar tentang hal itu. 

10: Kita ciptaan Allah dan kerana kita hidup bersatu dengan Kristus Yesus, Allah telah menjadikan kita untuk mengamalkan perbuatan baik, yang sudah disediakan-Nya untuk kita lakukan.  

11: Hai kamu yang bukan orang Yahudi! Ingatlah akan keadaan kamu dahulu. Kamu disebut ‘orang yang tidak bersunat’ oleh orang Yahudi yang menyebut diri mereka ‘orang yang bersunat’ (iaitu tanda yang dilakukan oleh manusia pada tubuh mereka). 

12: Pada masa itu kamu tidak mengenal Kristus. Kamu orang asing, yang tidak termasuk umat pilihan Allah. Kamu tidak mempunyai bahagian dalam perjanjian yang dibuat oleh Allah dengan umat-Nya berdasarkan janji-janji-Nya kepada mereka. Kamu hidup di dunia ini tanpa harapan dan tanpa Allah. 

13: Tetapi sekarang, kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus Yesus, kamu yang dahulunya jauh daripada Allah, telah didekatkan kepada Allah oleh kematian Kristus. 

14: Hal itu demikian kerana Kristus sendiri telah membawa kedamaian untuk kita dengan menjadikan orang Yahudi dan orang bukan Yahudi satu umat. Dengan kematian-Nya di kayu salib Kristus telah merobohkan tembok permusuhan yang memisahkan mereka. 

15: Kristus memansuhkan semua perintah dan peraturan dalam Taurat, supaya daripada dua kaum itu, Dia boleh menjadikan mereka satu umat yang baru, yang hidup bersatu dengan Dia. Dengan cara itu Kristus mendatangkan kedamaian. 

16: Dengan kematian-Nya di kayu salib, Kristus telah melenyapkan permusuhan mereka. Dengan salib itu Dia mempersatukan dua kaum itu dan memimpin mereka kembali kepada Allah. 

17: Demikianlah Kristus datang dan mengisytiharkan Berita Baik tentang kedamaian itu kepada semua orang: baik kepada orang bukan Yahudi yang dahulu jauh daripada Allah, mahupun kepada orang Yahudi yang dekat dengan Allah. 

18: Melalui Kristus, kita semua - orang Yahudi mahupun bukan Yahudi - dapat datang ke hadirat Bapa dengan pertolongan Roh Allah yang satu.  

19: Oleh itu, kamu orang bukan Yahudi bukan lagi orang asing ataupun pendatang. Sekarang kamu warga umat Allah dan anggota keluarga Allah. 

20: Kamu pun dibina di atas asas yang diletakkan oleh para rasul dan nabi, dengan Kristus Yesus sebagai batu asasnya. 

21: Dialah yang menjadikan seluruh bangunan itu tersusun rapi dan meluaskannya sehingga menjadi Rumah Allah yang dikhaskan untuk Tuhan. 

22: Kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus, kamu juga dibina bersama-sama semua orang lain menjadi sebuah tempat kediaman Allah; di situ Roh Allah tinggal.

Efesus 1: 1 - 23

1: Surat ini daripada Paulus, yang menjadi rasul Kristus Yesus kerana kehendak Allah. Surat ini ditujukan kepada umat Allah di Efesus yang setia dalam hidup yang bersatu dengan Kristus Yesus.  

2: Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan.  

3: Marilah kita bersyukur kepada Allah dan Bapa Tuhan kita Yesus Kristus! Kerana kita hidup bersatu dengan Kristus, Allah sudah memberkati kita dengan segala berkat rohani dari syurga. 

4: Sebelum dunia ini diciptakan, Allah telah memilih kita untuk menjadi umat-Nya melalui hidup bersatu dengan Kristus, supaya kita menjadi suci dan tidak bercela di hadirat-Nya. Kerana kasih-Nya, 

5:Allah telah membuat keputusan untuk menjadikan kita anak-anak-Nya melalui Yesus Kristus. Itulah keinginan dan kehendak Allah. 

6: Marilah kita memuji Allah bagi rahmat-Nya yang mulia, yang dikurniakan-Nya kepada kita melalui Anak yang dikasihi-Nya! 

7: Hal itu demikian, kerana dengan kematian Kristus kita dibebaskan; maknanya Allah sudah mengampunkan dosa kita. Alangkah mulianya rahmat Allah, 

8: yang sudah dikurniakan-Nya kepada kita dengan berlimpah-limpah! 

9: Dengan segala kebijaksanaan dan pengertian, Allah telah melaksanakan tujuan-Nya. Dia memberitahu kita rancangan-Nya yang dirahsiakan, tetapi yang sudah ditentukan-Nya akan disempurnakan melalui Kristus. 

10: Rancangan itu akan disempurnakan oleh Allah pada masa yang ditentukan-Nya. Rancangan itu adalah untuk menyatukan segala sesuatu yang telah diciptakan, baik yang di syurga mahupun yang di bumi, dengan Kristus sebagai kepala.  

11: Allah melakukan semuanya menurut rancangan dan keputusan-Nya sendiri. Dari mula-mula lagi Dia telah memilih kita, kerana Dia mahu supaya kita menjadi umat-Nya oleh sebab hidup bersatu dengan Kristus. 

12: Marilah kita, yang pertama sekali berharap kepada Kristus, memuji kemuliaan Allah!  

13: Kamu juga menjadi umat Allah, ketika kamu mendengar berita tentang ajaran benar, iaitu Berita Baik yang membawa penyelamatan kepada kamu. Kamu percaya kepada Kristus, dan untuk menunjukkan bahawa kamu milik Allah, Allah mengurniai kamu Roh-Nya yang telah dijanjikan-Nya itu. 

14: Roh itu jaminan bahawa kita akan menerima apa yang telah dijanjikan oleh Allah kepada umat-Nya. Hal itu meyakinkan kita bahawa Allah akan membebaskan umat-Nya dengan sepenuhnya. Marilah kita memuji kemuliaan-Nya!  

15: Oleh itu, sejak aku mendengar berita bahawa kamu percaya kepada Tuhan Yesus, dan bahawa kamu mengasihi semua umat Allah,

16: aku tidak berhenti-henti bersyukur kepada Allah untuk kamu. Aku mengingat kamu apabila aku berdoa. 

17: Aku memohon supaya Allah Tuhan kita Yesus Kristus, Bapa yang mulia, mengurniai kamu Roh-Nya. Roh Allah akan menjadikan kamu bijaksana dan akan menunjukkan Allah kepada kamu sehingga kamu mengenal Dia. 

18: Aku memohon agar Allah menjadikan fikiran kamu terbuka untuk memahami ajaran-Nya. Dengan demikian kamu mengetahui apa yang dapat kamu harapkan daripada Allah yang memanggil kamu. Betapa indah dan berlimpah-limpahnya berkat yang dijanjikan oleh Allah kepada umat-Nya, 

19: serta betapa besar kuasa-Nya yang menolong kita, orang yang percaya kepada Kristus. Kuasa itu seperti kuasa

20: yang digunakan oleh Allah ketika Dia membangkitkan Kristus daripada kematian, lalu memberi Dia tempat duduk di sebelah kanan-Nya di syurga.  

21: Di situ Kristus berkuasa atas semua pemerintah, penguasa, pemimpin, dan raja. Kristus jauh lebih berkuasa daripada sesiapa pun, baik yang hidup pada zaman ini mahupun pada zaman yang akan datang. 

22: Allah menaklukkan semuanya ke bawah kekuasaan Kristus, dan memberikan Kristus kepada jemaah sebagai penguasa segala sesuatu. 

23: Jemaah itu tubuh Kristus, dan kesempurnaan Kristus, dan Kristus menyempurnakan segala sesuatu di mana-mana sahaja. 

Matius 28: 1 - 20

1: Setelah hari Sabat berlalu dan fajar mula menyingsing pada hari Ahad, Maria Magdalena dan Maria yang lain pergi melihat kubur Yesus. 

2: Tiba-tiba berlaku gempa bumi yang kuat. Malaikat Tuhan turun dari syurga, menggulingkan batu penutup kubur itu lalu duduk di atasnya. 

3: Rupa malaikat itu terang seperti kilat dan pakaiannya putih seperti salji. 

4: Askar-askar pengawal di situ begitu ketakutan sehingga mereka gementar lalu rebah seperti orang mati.  

5: Malaikat itu berkata kepada wanita-wanita itu, “Janganlah takut! Aku tahu bahawa kamu mencari Yesus yang telah disalibkan itu. 

6: Dia tidak ada di sini. Dia sudah bangkit seperti yang dikatakan-Nya dahulu. Marilah lihat tempat jenazah Yesus diletakkan. 

7: Sekarang, cepatlah pergi dan beritahu pengikut-pengikut-Nya, ‘Dia sudah dibangkitkan daripada kematian, dan sekarang Dia pergi ke Galilea terlebih dahulu daripada kamu. Di sana kamu akan melihat Dia.’ Ingatlah akan apa yang aku katakan kepada kamu.”  

8: Dengan cepat mereka meninggalkan kubur itu; mereka takut tetapi juga bersukacita. Lalu mereka lari memberitahu pengikut-pengikut Yesus.  

9: Tiba-tiba Yesus datang menemui wanita-wanita itu dan berkata, “Sejahteralah kamu.” Mereka menghampiri Dia, memegang kaki-Nya, dan menyembah Dia. 

10: “Janganlah takut,” kata Yesus kepada mereka, “pergilah beritahu saudara-saudara-Ku supaya pergi ke Galilea; di sana mereka akan melihat Aku.”  

11: Sementara wanita-wanita itu meneruskan perjalanan, beberapa orang askar yang mengawal kubur itu kembali ke kota dan memberitahu ketua-ketua imam segala yang sudah berlaku. 

12: Ketua-ketua imam berunding dengan para pemimpin masyarakat Yahudi, dan mengambil keputusan untuk memberikan wang yang banyak kepada askar-askar pengawal itu. 

13: Mereka berkata kepada askar-askar itu, “Kamu harus mengatakan bahawa pengikut-pengikut Yesus datang pada malam hari dan mencuri jenazah Yesus ketika kamu tidur. 

14: Jika gabenor mendengar hal ini, kami akan meyakinkan dia bahawa kamu tidak bersalah. Kamu tidak usah khuatir.”  

15: Askar-askar pengawal mengambil wang itu dan berbuat seperti yang disuruh mereka. Sehingga hari ini, cerita itu masih tersebar di kalangan orang Yahudi.   

16: Sebelas orang pengikut Yesus pergi ke bukit di Galilea seperti yang diperintahkan oleh Yesus kepada mereka. 

17: Apabila mereka melihat Yesus, mereka menyembah Dia meskipun ada di kalangan mereka yang ragu-ragu. 

18: Yesus menghampiri mereka lalu berkata, “Aku telah diberikan segala kuasa di syurga dan di bumi. 

19: Pergilah kepada semua bangsa di seluruh dunia dan jadikanlah mereka pengikut-Ku. Baptislah mereka dengan menyebut nama Bapa, Anak, dan Roh Allah. 

20: Ajarlah mereka mentaati segala yang sudah Aku perintahkan. Ingatlah, Aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga akhir zaman.” 

Matius 27: 1 - 66

1: Pada pagi-pagi sekali, semua ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi membuat keputusan untuk membunuh Yesus. 

2: Mereka mengikat Yesus, lalu membawa Dia pergi untuk diserahkan kepada Pilatus, gabenor kerajaan Roma.  

3: Apabila Yudas, pengkhianat itu tahu bahawa Yesus telah dijatuhi hukuman mati, dia menyesal. Lalu dia mengembalikan tiga puluh keping wang perak itu kepada para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi. 

4: Dia berkata, “Aku sudah berdosa kerana mengkhianati orang yang tidak bersalah sehingga dihukum mati!” Tetapi mereka menjawab, “Kami tidak peduli! Itu urusanmu!”  

5: Yudas melempar wang itu ke dalam Rumah Tuhan lalu meninggalkan mereka. Kemudian dia pergi menggantung diri.  

6: Para ketua imam memungut wang itu dan berkata, “Wang ini upah seorang pembunuh. Menurut Taurat kita, wang ini tidak boleh dimasukkan ke dalam peti persembahan di Rumah Tuhan.” 

7: Setelah bersetuju, mereka menggunakan wang itu untuk membeli tanah yang disebut Tanah Tukang Periuk. Tanah itu digunakan sebagai perkuburan orang bukan Yahudi. 

8: Itulah sebabnya sehingga hari ini tanah itu dinamakan “Tanah Darah”.  

9: Dengan demikian berlakulah apa yang dikatakan oleh Nabi Yeremia, “Mereka mengambil tiga puluh keping wang perak, jumlah yang disetujui oleh orang Israel sebagai bayaran bagi Dia. 

10: Wang itu digunakan untuk membeli tanah tukang periuk, seperti yang diperintahkan oleh Tuhan kepadaku.”  

11: Yesus berdiri di hadapan Gabenor Pilatus, dan Pilatus bertanya kepada-Nya, “Adakah kamu raja orang Yahudi?” “Begitulah yang tuan katakan,” jawab Yesus. 

12: Tetapi apabila para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi melemparkan banyak tuduhan terhadap Yesus, Dia diam sahaja.  

13: Oleh itu Pilatus berkata kepada-Nya, “Tidakkah kamu mendengar segala tuduhan yang dilemparkan oleh mereka terhadapmu?”  

14: Tetapi Yesus tidak menjawab sepatah pun, sehingga gabenor itu sangat hairan.  

15: Pada tiap-tiap Perayaan Paska, gabenor Roma biasanya membebaskan seorang tahanan yang dikehendaki orang ramai. 

16: Pada masa itu ada seorang tahanan yang terkenal, yang bernama Yesus Barabas. 

17: Apabila orang ramai berkumpul, Pilatus bertanya kepada mereka, “Siapakah yang kamu mahu aku bebaskan? Yesus Barabas atau Yesus yang disebut Kristus?” 

18: Pilatus tahu betul bahawa pemimpin orang Yahudi menyerahkan Yesus kepadanya kerana iri hati.  

19: Sementara Pilatus duduk di balai pengadilan, isterinya mengirim berita kepadanya, “Janganlah turut campur perkara orang yang tidak bersalah itu, kerana saya mendapat mimpi buruk tentang dia.”  

20: Para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi menghasut orang ramai supaya meminta Pilatus membebaskan Barabas dan menghukum mati Yesus. 

21: Tetapi Pilatus bertanya kepada orang ramai, “Yang mana satu antara kedua-dua orang ini yang kamu mahu aku bebaskan?” “Barabas!” jawab mereka.  

22: “Lalu apakah yang harus aku lakukan terhadap Yesus yang disebut Kristus?” Pilatus bertanya kepada mereka. “Salibkan dia!” jawab mereka semua.  

23: Tetapi Pilatus berkata, “Kejahatan apa yang telah dilakukannya?” Kemudian mereka berteriak lebih kuat lagi, “Salibkan dia!”   

24: Apabila Pilatus sedar bahawa dia tidak boleh berbuat apa-apa lagi dan bahawa orang ramai mungkin merusuh, dia mengambil air lalu membasuh tangan di hadapan orang ramai. Dia berkata, “Aku tidak bertanggungjawab terhadap kematian orang ini! Kamulah yang bertanggungjawab!”  

25: Seluruh orang ramai itu menjawab, “Kami dan keturunan kami bertanggungjawab terhadap kematiannya!”  

26: Kemudian Pilatus membebaskan Barabas bagi mereka, dan menyuruh orang menyesah Yesus serta menyerahkan Dia kepada askar untuk disalib.  

27: Kemudian askar-askar Pilatus membawa Yesus ke istana gabenor, dan semua askar di situ berkumpul di sekeliling-Nya. 

28: Mereka menanggalkan pakaian Yesus lalu memakaikan jubah merah ungu pada Dia. 

29: Kemudian mereka membuat mahkota daripada ranting-ranting berduri dan mengenakannya pada kepala Yesus. Askar-askar itu juga menaruh sebatang tongkat pada tangan kanan Yesus. Kemudian mereka berlutut di hadapan Yesus dan mengejek Dia. Mereka berkata, “Daulat Raja Orang Yahudi!” 

30: Mereka meludahi Dia dan mengambil tongkat itu lalu memukul kepala-Nya. 

31: Setelah mereka mempermainkan Yesus, mereka menanggalkan jubah merah ungu itu lalu memakaikan pakaian-Nya sendiri semula. Kemudian mereka membawa Yesus ke luar untuk disalib.  

32: Dalam perjalanan ke luar kota, mereka berjumpa dengan seorang lelaki dari Kirene yang bernama Simon. Askar-askar memaksa dia memikul salib Yesus. 

33: Mereka tiba di tempat bernama Golgota, yang bermakna “Tempat Tengkorak”. 

34: Di situ mereka memberikan wain yang bercampur bahan pahit kepada Yesus. Tetapi setelah Yesus mengecap minuman itu, Dia tidak mahu meminumnya.   

35: Kemudian askar-askar menyalibkan Dia, dan membahagi-bahagikan pakaian-Nya antara mereka dengan membuang undi. 

36: Setelah itu mereka duduk di sana dan mengawal Dia. 

37: Di sebelah atas kepala Yesus, terpasang tulisan tentang tuduhan terhadap Yesus: “Inilah Yesus, Raja Orang Yahudi.” 

38: Dua orang penjahat juga disalibkan bersama-sama Yesus, seorang di sebelah kanan dan seorang lagi di sebelah kiri-Nya.   

39: Semua orang yang lalu di situ menggelengkan kepala sambil mencemuh Yesus. Mereka berkata, 

40: “Kamu mahu merobohkan Rumah Tuhan lalu membinanya semula dalam tiga hari! Jika kamu Anak Allah, selamatkanlah dirimu dan turunlah dari salib!”  

41: Para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi juga memperolokkan Yesus. Mereka berkata, 

42: “Dia menyelamatkan orang lain, tetapi tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri! Bukankah dia raja orang Israel? Jika dia turun dari salib sekarang, kami akan percaya kepadanya! 

43: Dia percaya kepada Allah dan berkata bahawa dia Anak Allah. Mari kita lihat, adakah Allah akan menyelamatkan dia sekarang?”  

44: Bahkan kedua-dua orang penjahat yang disalibkan bersama-sama Yesus pun menghina Dia seperti itu.  

45: Pada tengah hari, selama tiga jam, seluruh negeri itu menjadi gelap. 

46: Pada pukul tiga petang, Yesus berseru dengan suara lantang, “Eli, Eli, lama sabakhtani?” yang bererti, “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku?”  

47: Beberapa orang di situ mendengar seruan Yesus, lalu berkata, “Dia memanggil Elia!” 

48: Seorang daripada mereka segera lari mengambil bunga karang, lalu mencelupkannya ke dalam wain murah. Kemudian bunga karang itu dicucukkannya pada hujung sebatang kayu, lalu dihulurkannya ke mulut Yesus.  

49: Tetapi orang lain di situ berkata, “Tunggu, mari kita lihat kalau-kalau Elia datang menyelamatkan dia!”  

50: Kemudian Yesus berseru lagi dengan nyaring, lalu menghembuskan nafas yang terakhir.   

51: Kemudian tirai yang tergantung di dalam Rumah Tuhan koyak dari atas sampai ke bawah, sehingga menjadi dua helai. Bumi bergoncang, gunung batu terbelah, 

52: kubur terbuka, dan banyak umat Allah yang sudah meninggal dihidupkan semula. 

53: Mereka meninggalkan kubur, dan setelah Yesus bangkit daripada kematian, mereka masuk ke Yerusalem. Di sana banyak orang nampak mereka.  

54: Apabila ketua askar dan askar-askar yang sedang mengawal Yesus nampak gempa bumi dan segala perkara yang berlaku, mereka ketakutan. Mereka berkata, “Dia betul-betul Anak Allah!”  

55: Di situ ada juga banyak wanita yang memandang dari jauh. Mereka datang bersama-sama Yesus dari Galilea dan mereka menolong Dia. 

56: Antara mereka ialah Maria Magdalena, Maria ibu Yakobus dan Yusuf, serta ibu anak-anak Zebedeus.  

57: Pada waktu petang, seorang kaya dari Arimatea yang bernama Yusuf datang. Dia juga pengikut Yesus. 

58: Dia pergi kepada Pilatus dan meminta jenazah Yesus. Pilatus memberikan perintah supaya jenazah Yesus diserahkan kepadanya. 

59: Yusuf mengambil jenazah itu lalu membalutnya dengan kain linen baru. 

60: Dia meletakkan jenazah Yesus di dalam kubur miliknya sendiri yang baru dipahat di bukit batu. Kemudian Yusuf menggulingkan sebuah batu besar untuk menutup pintu kubur itu, lalu dia pergi. 

61: Maria Magdalena dan Maria yang lain duduk di situ menghadapi kubur itu.  

62: Keesokan harinya, pada hari Sabat, ketua-ketua imam dan orang Farisi pergi menghadap Pilatus. 

63: Mereka berkata, “Tuan, kami ingat bahawa semasa penipu itu masih hidup, dia pernah berkata, ‘Selepas tiga hari Aku akan dibangkitkan.’ 

64: Oleh itu suruhlah orang mengawal kubur itu baik-baik sehingga hari ketiga. Dengan demikian pengikut-pengikutnya tidak dapat mencuri jenazah Yesus, dan memberitahu orang bahawa dia telah dibangkitkan daripada kematian. Penipuan yang terakhir ini akan lebih buruk daripada yang pertama.”  

65: “Bawalah beberapa orang askar,” kata Pilatus kepada mereka, “pergilah dan kawallah kubur itu dengan rapi.”  

66: Lalu mereka pergi ke kubur itu, memeteraikan batu penutup kubur dan menyuruh beberapa orang askar mengawal kubur itu.