Tuesday, 7 June 2016

Efesus 6: 10 - 19

10: Akhirnya, binalah kekuatan kamu dengan menerima kekuatan daripada kuasa Tuhan, kerana kamu hidup bersatu dengan Dia. 

11: Pakailah seluruh perlengkapan senjata daripada Allah, supaya kamu dapat mempertahankan diri daripada muslihat Iblis yang jahat. 

12: Hal itu demikian kerana kita tidak berjuang melawan manusia, tetapi melawan segala kuasa jahat di angkasa, iaitu roh-roh yang berkuasa dan yang memerintah zaman yang gelap ini. 

13: Oleh itu sekarang, pakailah seluruh perlengkapan senjata daripada Allah, supaya pada hari yang jahat kamu dapat mempertahankan diri daripada serangan musuh. Dengan demikian, setelah kamu berjuang sampai akhir, kamu tidak berganjak sedikit pun. 

14: Oleh itu, haruslah kamu bersiap sedia! Gunakanlah ajaran benar tentang Allah sebagai tali pinggang dan ketulusan sebagai perisai dada. 

15: Hendaklah kesediaan untuk mengisytiharkan Berita Baik yang membawa kesejahteraan menjadi kasutmu. 

16: Hendaklah kamu sentiasa gunakan kepercayaan kamu kepada Allah sebagai perisai di tangan. Dengannya kamu dapat memadamkan semua anak panah berapi daripada Si Jahat. 

17: Terimalah penyelamatan daripada Allah sebagai topi besi, dan firman Allah sebagai pedang daripada Roh Allah. 

18: Lakukanlah semuanya sambil berdoa untuk meminta pertolongan daripada Allah. Berdoalah sentiasa untuk semua umat Allah. 

19: Berdoalah untukku juga, supaya Allah memberitahu aku apa yang harus aku katakan, ketika menyampaikan perkhabaran. Berdoalah supaya dengan berani aku dapat memberitahukan rahsia Berita Baik itu. 

Amsal 13: 3

3: Orang yang berhati-hati dengan kata-katanya, melindungi diri sendiri. Orang yang bercakap sebarangan, membinasakan dirinya.

Monday, 23 May 2016

Yohanes 3: 16

16: Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal.


Monday, 9 May 2016

Kisah Rasul-Rasul 18

Di Korintus

1: Setelah itu Paulus meninggalkan Atena dan pergi ke Korintus.

2: Di situ dia berjumpa dengan seorang Yahudi bernama Akwila, yang dilahirkan di negeri Pontus. Akwila baru sahaja datang dari Italia dengan isterinya, Priskila. Mereka datang ke Korintus kerana Kaisar Klaudius mengusir semua orang Yahudi dari Roma. Paulus pergi menjumpai Akwila dan Priskila,

3: Lalu tinggal dan bekerja bersama-sama mereka, kerana mereka dan Paulus sama-sama menyara hidup dengan membuat khemah.

4: Setiap hari Sabat, Paulus mengadakan perbincangan dengan orang yang berkumpul di rumah ibadat untuk meyakinkan orang Yahudi mahupun orang Yunani tentang Yesus.

5: Setelah Silas dan Timotius tiba dari Makedonia, Paulus menggunakan seluruh masanya untuk memberitakan perkhabaran daripada Allah. Dia memberikan kesaksian kepada orang Yahudi bahawa Yesus Penyelamat yang diutus oleh Allah.

6: Tetapi mereka menentang dan menghina Paulus. Oleh itu Paulus mengebaskan debu daripada pakaiannya sebagai amaran kepada mereka dan berkata,
"Jika kamu binasa, kamu sendiri yang bertanggungjawab terhadap hal itu. Mulai sekarang, aku akan pergi kepada orang bukan Yahudi."

7: Lalu Paulus meninggalkan mereka dan pergi tinggal di rumah seorang bukan Yahudi yang bernama Titius Yustus. Dia menyembah Allah, dan rumahnya di sebelah rumah ibadat itu.

8: Krispus, ketua rumah ibadat itu dengan semua anggota keluarganya percaya kepada Tuhan Yesus. Banyak orang lain di Korintus juga mendengar berita daripada Allah, dan mereka percaya kepada Yesus lalu dibaptis.

9: Pada suatu malam dalam suatu penglihatan, Tuhan berfirman kepada Paulus,
"Janganlah takut! Berkata-katalah terus dan jangan berhenti,

10: kerana Aku menyertai engkau. Tidak seorang pun dapat mencederakan engkau, kerana banyak orang di kota ini, umatku.

11: Oleh itu Paulus tinggal di Korintus selama setahun setengah, dan mengajarkan perkhabaran daripada Allah kepada orang di situ.

12: Semasa Galio menjadi gabenor negeri Akhaya, orang Yahudi bersatu padu untuk menangkap Paulus dan membawa dia ke hadapan gabenor untuk diadili.

13: Mereka mengajukan tuduhan ini,
"Orang ini berusaha mempengaruhi orang ramai supaya menyembah Allah dengan cara yang bertentangan dengan hukum kami."

14: Apabila Paulus hendak menjawab, Galio berkata kepada orang Yahudi di situ,
"Jika perkara ini tentang kesalahan atau perbuatan jenayah, bolehlah aku bersabar dan mendengarkan aduan kamu.

15: Tetapi kamu bertengkar tentang kata dan nama serta hukum kamu sendiri. Oleh itu kamu harus menyelesaikan masalah itu sendiri. Aku tidak mahu mengadili perkara semacam ini!

16: Lalu Galio mengusir mereka ke luar.

17: Kemudian mereka menangkap Sostenes, ketua rumah ibadat itu lalu memukul dia di hadapan mahkamah. Tetapi Galio sama sekali tidak mempedulikan hal itu.

18: Paulus tinggal dengan pengikut Yesus di Korintus selama beberapa hari lagi. Kemudian dia meninggalkan mereka lalu belayar dengan Priskila dan Akwila ke Siria. Sebelum bertolak, Paulus mencukur rambutnya di Kengkrea kerana telah bernazar.

19: Apabila mereka tiba di Efesus, Paulus meninggalkan Priskila dan Akwila. Kemudian dia msuk ke rumah ibadat dan mengadakan perbincangan dengan orang Yahudi.

20: Mereka meminta supaya Paulus tinggal lebih lama di situ, tetapi Paulus tidak mahu.


21: Pada waktu berangkat, Paulus berkata kepada mereka,
"Jika diperkenankan oleh Allah, aku akan kembali." Setelah itu dia belayar dari Efesus.

22: Apabila dia tiba di Kaisera, dia melanjutkan perjalanan ke Yerusalem untuk memberikan salam kepada jemaah di situ, lalu dia pergi ke Antiokhia.

23: Setelah tinggal beberapa lama di Antiokhia dia mengunjungi daerah Galatia dan Frigia untuk meneguhkan iman semua pengikut Yesus di situ.

24: Pada waktu itu seorang Yahudi bernama Apolos, yang lahir di Aleksandra, datang ke Efesus. Dia pandai berpidato dan sangat memahami isi Alkitab.

25: Dia telah mengalami ajaran tentang Yesus. Dengan penuh kesungguhan, dia mengisytiharkan dan mengajarkan ajaran tentang Yesus dengan betul. Tetapi dia hanya mengetahui baptisan yang diajarkan oleh Yohanes.

26: Dengan berani Apolos mula berkata-kata di rumah ibadat. Apabila Priskila dan Akwila mendengar dia, mereka membawa dia ke rumah. Mereka menerangkan penyelamatan Allah melalui Yesus dengan lebih tepat lagi.

27: Kemudian Apolos mahu pergi ke Akhaya. Oleh itu, pengikut Yesus di Efesus menolong dia denga menulis sepucuk surat kepada pengikut Yesus di Akhaya, supaya mereka menyambut Apolos. Apabila Apolos tiba di situ, dia sangat menolong orang yang dengan rahmat Allah, percaya kepada Yesus.

28: Dengan penuh wibawa Apolos mengalahkan orang Yahudi dalam perdebatan di hadapan umum. Dengan mengutip ayat-ayat Alkitab, dia membuktikan bahawa Yesus Penyelamat yang diutus oleh Allah.






Kolose 3: 15

15: Hendaklah kedamaian yang diberikan oleh Kristus menolong kamu membuat keputusan tentang apa yang harus dilakukan, kerana Allah telah memanggil kamu supaya menjadi anggota satu tubuh, sehingga kamu dapat mengalami kedamaian itu. Bersyukurlah.

Thursday, 28 April 2016

Hiduplah Sebagaimana Kamu Dipimpin oleh Tuhan

17: Hendaklah masing-masing hidup menurut pimpinan Tuhan seperti yang sudah ditentukan Tuhan baginya, semasa Allah memanggil dia. Inilah peraturan yang aku ajarkan kepada jemaah. 

18: Umpamanya, jika seseorang sudah bersunat semasa Allah memanggilnya, maka orang itu tidak boleh menghapuskan tanda sunat itu. Begitu juga jika seseorang itu tidak bersunat semasa Tuhan memanggilnya, orang itu tidak usah minta disunat.

19: Tidaklah penting sama ada orang bersunat atau tidak. Yang penting adalah mentaati perintah Allah.

20: Hendaklah tiap-tiap orang tetap hidup dalam keadaan seperti pada masa Allah memanggilnya dahulu.

21: Jika kamu hamba, semasa dipanggil oleh Allah, janganlah hal ini menyusahkan hati kamu. Tetapi jika kamu mendapat peluang untuk menjadi orang bebas, gunakanlah peluang itu.

22: Hamba yang percaya kepada Tuhan, menjadi orang bebas di sisi Tuhan. Demikian juga orang bebas yang percaya kepada Kristus, menjadi hamba Kristus. 

23: Allah sudah membeli kamu dan membayar harga dengan lunas. Oleh itu, janganlah jadi hamba manusia.

24: Saudara-saudaraku, hendaklah setiap orang hidup bersama-sama Allah seperti dalam keadaan pada waktu dipanggil oleh Allah.

Soalan Tentang Perkahwinan

1: Sekarang aku akan membincangkan masalah yang kamu tulis kepadaku. Jika seorang lelaki tidak berkahwin, hal itu baik.

2: Tetapi supaya tidak tergoda untuk melakukan perbuatan yang cabul, lebih baik setiap lelaki mempunyai isteri masing-masing dan seorang wanita mempunyai suami masing-masing.

3: Seorang suami harus memenuhi kewajipannya sebagai suami kepada isterinya, dan seorang isteri harus memenuhi kewajipannya sebagai isteri kepada suaminya. Masing-masing harus memenuhi kewajipannya kepada yang lain.

4: Seorang isteri tidak berkuasa atas tubuhnya sendiri, tetapi suaminya yang berkuasa atas tubuhnya.

5: Janganlah saling jauhkan diri dalam hubungan suami isteri, kecuali kedua-dua belah pihak setuju,d an hanya untuk sementara waktu, supaya masing-masing dapat berdoa dengan tekun. Tetapi setelah itu, kamu harus melanjutkan hubungan suami isteri. Dengan demikian, Iblis tidak akan dapat menyebabkan kamu berdosa kerana kamu tidak dapat menahan nafsu.

6: Aku mengatakan hal ini bukan sebagai perintah, melainkan sebagai nasihat.

7: Sebenarnya aku lebih suka jika kamu semua menjadi seperti aku. Tetapi setiap orang sudah menerima kurnia yang khas daripada Allah. Seorang mempunyai kurnia ini, dan yang lain mempunyai kurnia itu.

8: Kepada mereka yang belum berkahwin dan kepada wanita yang sudah menjadi balu, inilah nasihatku:
"Lebih baik kamu tetap hidup sendirian seperti aku."

9:Tetapi jika kamu tidak dapat menahan nafsu, maka berkahwinlah. Lebih baik kamu berkahwin daripada nafsu berahi kamu berkobar-kobar.

10: Kepada mereka yang sudah berkahwin, beginilah perintahku. Sebenarnya bukan aku yang memberikan perintah ini, tetapi Tuhan. Seorang isteri tidak boleh meninggalkan suaminya.

11: Tetapi jika seorang isteri meninggalkan suaminya, dia harus tetap tidak bersuami, atau dia kembali kepada suaminya. Seorang suami tidak boleh menceraikan isterinya.

12: Kepada yang lain aku berkata begini (ini nasihatku sendiri, bukan nasihat Tuhan): Jika seorang lelaki Kristian mempunyai isteri yang bukan Kristian, dan isterinya bersetuju untuk hidup bersama-sama dia, maka suami itu tidak boleh menceraikan isterinya.

13: Jika seorang wanita Kristian mempunyai suami yang bukan Kristian
dan suaminya bersetuju untuk hidup bersama-sama dia, maka isteri itu tidak boleh menceraikan suaminya.

14: Seorang suami yang tidak percaya kepada Kristus diterima oleh Allah, kerana perkahwinannya dengan isteri yang percaya kepada Kristus. Begitu juga seorang isteri yang tidak percaya kepada Kristus diterima oleh Allah kerana perkahwinannya dengan suami yang percaya kepada Kristus. Jika tidak demikian halnya, anak-anak mereka akan menjadi seperti anak-anak orang yang tidak mengenal Allah. Sebenarnya, anak-anak diterima oleh Allah. 

15: Tetapi jika seseorang yang bukan Kristian ingin meninggalkan isteri atau suaminya yang Kristian, biarlah dia berbuat demikian. Dalam hal yang sedemikian, suami atau isteri yang Kristian itu bebas membuat pilihan, tetapi Allah mahu kamu hidup dalam damai.

16: Hai isteri yang sudah percaya kepada Kristus, bagaimana kamu boleh tahu dengan pasti bahawa kamu tidak akan menyelamatkan suami kamu? Begitu juga, hai suami yang sudah percaya kepada Kristus, bagaimana kamu boleh tahu dengan pasti bahawa kamu tidak akan menyelamatkan isteri kamu?