Tuesday 10 January 2017

Orang Miskin

Lebih baik menjadi orang miskin tetapi jujur, daripada menjadi orang bodoh yang suka membohong. Keghairahan tanpa pengetahuan tidak baik; orang yang tergesa-gesa akan membuat kesalahan. Ada orang merosakkan hidup kerana kebodohan sendiri, lalu menyalahkan TUHAN pula. Orang kaya sentiasa mendapat kawan baru, tetapi orang miskin ditinggalkan kawan.

Orang yang berbohong di mahkamah dan orang yang berdusta patut pasti dihukum. Setiap orang berusaha untuk mengambil hati orang besar dan mahu bersahabat dengan dermawan. Orang yang miskin tidak disukai saudaranya, apalagi oleh sahabatnya. Bagaimana pun dia berusaha untuk berkawan dengan mereka, dia tidak dapat memikat mereka.

Sesiapa mengejar pengetahuan, mengasihi dirinya; sesiapa mengingat apa yang dipelajarinya, akan berjaya. Sesiapa yang membohong di mahkamah tidak akan terlepas daripada hukuman. Dia pasti binasa. Orang bodoh tidak layak hidup dalam kemewahan; hamba tidak patut memerintah penguasa. Orang bijak dapat menahan kemarahan. Mereka dipuji kerana mengampunkan kesalahan orang terhadap mereka.

Kemurkaan raja bagaikan ngauman singa, tetapi kebaikannya bagaikan embun yang membasahi tumbuh-tumbuhan. Anak yang bodoh membinasakan bapanya. Isteri yang meleter bagaikan titisan air yang tidak henti-henti. Rumah dan harta boleh diwarisi daripada ibu bapa, tetapi isteri yang bijak ialah kurnia daripada TUHAN. Orang yang sentiasa tidur dan bermalas-malas pasti akan kelaparan.

Orang yang mentaati hukum Allah akan berusia panjang. Tetapi orang yang tidak mematuhi perintah-Nya akan mati. Menolong orang miskin sama seperti memberikan pinjaman kepada TUHAN. TUHAN sendiri akan membalasnya. Disiplinkan anak selagi mereka muda. Jika tidak, kamu menyebabkan kehancuran mereka. Biarlah orang cepat marah merasakan akibatnya. Jika kamu menolong orang itu satu kali, kamu harus menolongnya lagi.

Orang yang suka mendengar nasihat dan mahu belajar akan menjadi bijaksana kelak. Manusia mempunyai banyak rancangan, tetapi hanya kehendak TUHAN akan terlaksana. Ketamakan merupakan keaiban; lebih baik menjadi orang miskin daripada menjadi pembohong. Hormatilah TUHAN, maka kamu akan panjang umur. Kamu akan puas hati dan bebas daripada bahaya.

Ada orang begitu malas sehingga tidak mahu makan sendiri. Kalau orang sombong dihukum, orang yang bodoh mendapat pelajaran. Kalau orang bijak ditegur, dia akan menjadi lebih bijak. Hanya anak yang memalukan dan tercela akan menganiaya bapanya dan mengusir ibunya. Hai anakku, jika kamu berhenti belajar, kamu akan segera melupakan segala yang telah kamu pelajari. Jika seseorang bertekad memberikan kesaksian palsu, keadilan tidak akan dijalankan. Orang jahat suka akan kejahatan. Orang bodoh yang sombong pasti kena hukum.

Thursday 5 January 2017

Amsal 18: 1 - 24

Orang yang menyingkirkan diri daripada orang lain hanya mementingkan diri sendiri; mereka membantah segala pendapat yang baik daripada orang lain. Orang yang bodoh tidak peduli sama ada dia faham atau tidak. Dia hanya ingin mengatakan pendapat sendiri. Dosa dan hinaan sentiasa berdampingan; orang yang tercela akan dipermalukan.

Perkataan orang boleh merupakan sumber hikmat, yang dalam seperti laut dan segar seperti air yang mengalir. Tidak baik memihak orang yang jahat, dan menindas orang yang tidak bersalah. Jika orang bodoh menimbulkan pertengkaran, mereka minta dipukul. Apabila orang bodoh bercakap mereka terjerat oleh kata-kata mereka dan membinasakan diri.

Umpatan sangat enak rasanya; orang suka menelannya. Orang malas sama jahatnya dengan orang yang suka merosak. TUHAN seperti menara yang kukuh; ke sanalah orang jujur pergi dan mendapatkan perlindungan. Tetapi orang kaya menyangka bahawa harta yang melindungi mereka seperti tembok tinggi dan kuat di sekeliling kota.

Orang yang rendah hati akan dihormati; orang sombong akan pasti akan binasa. Orang yang menjawab sebelum mendengar, bukan sahaja bodoh tetapi mempermalu diri sendiri. Kemahuan untuk hidup dapat menanggung derita penyakit tetapi jika lenyap kemahuan itu, hilanglah segala harapan. Orang bijak sentiasa sedia dan suka belajar.

Hadiah membuka jalan sehingga mudah untuk menemui orang besar. Orang yang pertama berucap di mahkamah selalu nampaknya benar, tetapi kenyataannya akan diuji setelah perkaranya diperiksa. Jika terjadi pertikaian di mahkamah antara dua orang yang berkuasa, buanglah undi untuk menyelesaikannya.

Tolong-menolong menguatkan persaudaraan seperti tembok kota yang kukuh, tetapi pertengkaran memutuskan perhubungan. Kata-kata yang diucapkan membawa kesan yang harus dirasakan. Kata-kata yang diucapkan mempunyai kuasa untuk menyelamatkan ataupun membinasakan. Orang harus merasakan kesan kata-kata mereka.

Orang yang mendapat isteri, mendapat sesuatu yang baik. Hal ini bermakna TUHAN memperkenan orang itu. Orang miskin memohon dengan sopan, tetapi orang kaya menjawab dengan kasar. Ada sahabat yang tidak setia, ada pula yang karib daripada saudara kandung.


Wednesday 4 January 2017

Amsal 17: 1 - 28

Lebih baik makan sesuap makanan dengan fikiran yang tenang, daripada makan jamuan besar di rumah yang penuh dengan pertengkaran. Hamba yang bijak akan menguasai anak tuannya yang mendatangkan malu, dan mewarisi sebahagian hartanya. Emas dan perak diuji oleh api, tetapi hati orang diuji oleh TUHAN. Orang jahat menyambut cadangan jahat, dan pembohong suka mendengar kata-kata dusta.

Sesiapa yang mentertawakan orang miskin, menghina Allah yang mencipta mereka. Sesiapa yang gembira kerana kemalangan orang lain akan dihukum. Orang tua bangga akan cucu seperti anak bangga akan ibu bapa. Orang berhormat tidak patut berdusta, dan orang bodoh tidak dapat mengatakan yang berfaedah.

Ada orang berpendapat bahawa rasuah dapat membuat keajaiban; mereka percaya segalanya terlaksana dengan rasuah. Jika ingin disukai orang, maafkanlah kesalahan yang dilakukan mereka. Membangkit-bangkit kesalahan akan memutuskan persahabatan. Satu kali ditegur ajar adalah lebih bererti bagi orang bijak, daripada seratus kali cambukan pada orang bodoh.

Maut datang seperti utusan yang kejam kepada orang jahat yang selalu menimbulkan kekacauan. Lebih baik berjumpa dengan beruang betina yang kehilangan anaknya, daripada berjumpa dengan orang bodoh yang sibuk dengan kebodohannya. Orang yang membalas kebaikan dengan kejahatan, tidak dapat membanteras kejahatan dari rumahnya. Permulaan pertengkaran bagaikan retak pada empangan; cegahlah pertengkaran sebelum bermula.

TUHAN membenci perbuatan melepaskan orang jahat dan perbuatan menyalahkan orang yang tidak bersalah. Sia-sia sahaja orang bodoh menghabiskan wang mencari hikmat, kerana dia tidak berakal. Sahabat sentiasa saling mengasihi, dan sanak keluarga saling menanggung kesusahan. Hanya orang yang tidak berakal mahu menanggung hutang orang lain.

Orang yang suka akan dosa suka bertengkar. Orang yang selalu bercakap besar mencari kesusahan. Orang yang menipu tidak akan bahagia; orang yang bermulut jahat mendapat celaka. Anak yang melakukan perbuatan bodoh menyusahkan dan menyedihkan hati ibu bapanya.

Hati yang gembira, menyihatkan badan; hati yang sedih melemahkan semangat. Hakim yang curang menerima rasuah di dalam diam-diam dan tidak menjalankan keadilan. Tujuan orang bijak adalah memperoleh hikmat, tetapi tujuan orang bodoh tidak menentu. Anak yang bodoh menyedihkan hati bapanya dan mengesalkan hati ibunya.

Tidaklah patut mendenda orang yang tidak bersalah, dan tidaklah adil menghukum orang yang baik. Orang yang berpengetahuan tidak banyak bercakap. Orang yang berpengertian sentiasa tenang. Orang bodoh mungkin dianggap bijak dan pandai jika mereka berdiam diri dan menutup mulut.